| Info Kerjasama Mastika | Kerjasama dengan Mastika majalah no.1 Malaysia bermula pada tahun 2005. Awal tahun 2005, saya Ustaz Ahmadi Haji Din terbaca satu artikel menarik bertajuk ‘Fina: Tolong Bantu Saya’. Lantas saya menghubungi editor Mastika, En. Zulkarnain Zakaria (En. Zul) bagi menawarkan bantuan kepada Fina. En. Zul yang tidak mengenali saya agak was-was dengan tawaran tersebut. En. Zul mula menyoal siasat saya. Dari cerita latar belakang diri sampailah kepada cerita aktiviti sosial. En. Zul mula tertarik dan ingin berjumpa dengan saya. Temujanji dibuat dan saya bertemu En. Zul dengan bahan dokumen saya. En. Zul dan sebahagian besar wartawan Utusan Karya agak terpegun melihat bahan yang saya dedahkan. Tidak payah saya namakan apa bahan tersebut kerana agak sensitif. Pelbagai soalan diajukan kepada saya. En. Zul meminjam bahan tersebut bagi tujuan kajian. Tidak lama kemudian saya dihubungi En. Zul untuk meminta izin mendedahkan bahan tersebut dengan kawalan di dalam Mastika April 2005. Kami sepakat untuk mendedahkan bahan tersebut bertujuan menyedarkan masyarakat akan kemelut sosial yang melanda remaja pada hari ini. Skop bahan tersebut diperkecilkan menumpu kepada kisah-kisah pelajar IPT. April 2005, tajuk ‘Anak Siapakah Ini?’ menjadi isu hangat. Isu hangat ini bukan sahaja mendapat komen positif berhari-hari daripada para pembaca akhbar Utusan Malaysia bahkan dibahas di Parlimen Malaysia. Diberitakan Mastika bulan tersebut mencatat sejarah jualan tertinggi hampir ½ juta.
  
Ekoran sambutan yang luarbiasa, Mei 2005 bahan saya dimasukkan lagi. Tajuk ‘Drama Lucah Berakhir Dengan Tangisan’ ditampilkan. Hasil daripada pendedahan ini, para pembaca Mastika mula membuka mata melihat serius kebejatan sosial remaja yang berlaku. Maka mulalah timbul pelbagai isu serius remaja di dalam Mastika. Antaranya Black Metal, Punk, Skin Head, dan Gothic yang digarap penuh dramatik sehingga Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan ideologi sesat ini pada Januari 2006. Tahniah Mastika.  
Januari 2006, sekali lagi bahan saya dimasukkan Mastika. Tajuknya ‘Drama Sedih Ketika Azan Maghrib Berkumandang’ dan bulan berikutnya pula tajuk ‘Demi Anak-Anak Kita’     
Semua bahan yang saya sediakan untuk Mastika adalah hasil kerja-kerja sukarela bersama rakan-rakan membasmi gejala moral yang menular remaja dan belia pada hari ini. |
|